Tuesday 1 October 2013

 Merpati nilai jutaan ringgit dirampas


SEBANYAK 400 ekor burung merpati itu kini berada dalam keadaan selamat.


BEIJING - Pihak berkuasa China merampas beratus-ratus ekor burung merpati Belgium dan seekor burung merpati lumba paling mahal di dunia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Merpati lumba tersebut, Bolt, pernah dijual pada harga AS$419,800 (RM1.3 juta) pada awal tahun ini.
Burung berkenaan diimport ke China untuk tujuan perlumbaan merpati yang semakin popular di negara itu.
Bagaimanapun, semua 400 ekor burung berkenaan termasuk Bolt dibebaskan pada Khamis lalu.
Pihak berkuasa China berkata, burung-burung merpati lumba itu dirampas selepas ia diisytihar pada nilai biasa bagi mengelak dikenakan cukai import yang tinggi.
Penipuan tersebut akan menyebabkan negara China kehilangan hasil cukai dan duti import.
Bolt pernah dilelong pada bulan Mei lalu oleh persatuan pedagang merpati Belgium, PIPA.
Semua burung berkenaan dibebaskan selepas Ketua Eksekutif PIPA, Nikolaas Gyselbrecht terbang ke Beijing untuk berunding dengan pihak berkuasa China.
PIPA juga bersetuju membayar sejumlah wang untuk pembebasan semua haiwan itu.
Burung merpati itu juga telah dikurung selama dua bulan, lebih daripada tempoh standard kuarantin yang ditetapkan iaitu selama sebulan. - Agensi


Hakcipta terpelihara